Saturday, July 11, 2009

Nasharuddin Terpaksa Dibawa Ke Manik Urai Kerana Tekanan Pengundi Pas


Kuala Krai -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengajak Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin untuk turut sama berkempen di Manik Urai kerana isu itu sudah menjadi isu besar di kalangan pengundi parti itu di sini.

Jelas beliau Nik Aziz terpaksa menarik balik larangan awal kepada Nasharuddin setelah wujud tekanan dari sebilangan besar pengundi parti itu di sini yang marah melihat kemelut dalaman Pas yang tiada kesudahan.

"Walaupun Nasharuddin nak datang berkempen tapi asasnya dia dilarang dari awal untuk datang kempen….jadi bila benda ni dah jadi isu dan sebilangan besar penyokong Pas di Manik Urai marah barulah Nik Aziz kata Nasahrauddin kena datang.

"Tapi yang kita tahu pada awalnya memang ada larangan yang dikeluarkan bahawa Nasharuddin tak boleh berkempen di sini", katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada ceramah Perdana Pemuda di Peti Undi Peria di sini, Khamis malam. Perpecahan dalam Pas juga kata beliau sebenarnya cukup serius dan sukar disembunyikan lagi.

Larangan untuk Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa untuk berkempen serta ketiadaan poster Presiden dan Timbalan Presiden Pas yang digantung di Manik Urai tegas beliau lagi menunjukkan kemelut dalaman Pas belum lagi selesai.

"Perpecahan Pas memang ketara dan serius sebab itu penyokong Pas nak tolak calon mereka kali ini sebab mereka nak tunjuk protes mereka tentang apa yang sedang berlaku dalam Pas", ujarnya.

Sementara itu ketika berucap pada ceramah Perdana Pemuda, Khairy menyifatkan Datuk Husam Musa umpama ‘duri dalam daging’ yang boleh merosakkan Pas serta pemimpin utama parti itu yang menolak hasrat perpaduan antara Pas dan UMNO.

Katanya, pemimpin Pas seperti Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang dan timbalan, Nasharuddin Mat Isa jelas menunjukkan isyarat mahu perpaduan antara kedua-dua parti demi masa depan orang Melayu dan Islam.

"Saya percaya, Mursyidul Am Pas, Nik Aziz juga begitu tetapi Husam yang banyak mengelirukan Menteri Besar Kelantan itu sehingga Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan macam-macam kenyataan termasuk menuduh UMNO tolak Islam, komunis dan mengamalkan ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan Al-Arqam.

"Saya percaya dalam Pas, ada pemimpin mahu perpaduan antara UMNO dan Pas. Masalahnya ada satu dua pemimpin yang kacau dan hasut pemimpin Pas lain," katanya.

Pada ucapannya juga Khairy ternyata tidak menyerang Mursyidul Am Pas seperti dijangka ramai pihak sebaliknya beliua menyatakan Nik Aziz adalah ulama yang baik.

Namun katanya disebabkan dinasihati oleh Husam dengan cara yang salah kerana tidak mahu Melayu bersatu padu, maka Tok Guru mengeluarkan macam-macam tuduhan terhadap UMNO dan kerajaan BN.

"Kerajaan mahu lihat Kelantan maju..kita boleh bangunkan Kelantan dengan pesat tetapi Husam yang hasut dan halang serta kelirukan Nik Aziz," ujarnya.

Beliau juga pada ucapannya menjawab tuduhan Pas yang kononnya UMNO menolak Islam. Jelasnya, perkataan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bukan bermakna atau bermaksud kebangsaan itu UMNO menolak Islam.

"Sama seperti Pas yang membawa makna Parti Islam SeMalaysia, kedua-dua parti itu memperjuangkan Islam untuk semua orang Melayu di negara ini.

"Saya percaya, ramai pemimpin dan ahli Pas inginkan perpaduan bersama dengan UMNO.

"Dulu Haji Hadi lagilah fanatik hinggan keluar amanat tentang UMNO...kalau dulu beliau radikal, fanatik dan ortodok tapi kini boleh cakap soal nak bincang tentang perpaduan dengan UMNO, apa lagi pemimpin lain kecuali Husam," katanya.

Justeru tambah beliau jika BN menang di Manek Urai maksudnya pengundi Pas menolak perpecahan umat Islam serta syarat mereka menolak Husam bersama kumpulan Erdogan yang menentang hasrat perpaduan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau mempelawa Pas bersama-sama UMNO dan meninggalkan DAP serta PKR sebelum parti itu dihina apabila terpaksa ikut telunjuk pemimpin pembangkang parti lain.

Pada ceramah Perdana Pemuda itu juga Pemuda BN membuktikan kesepakatan tulen di kalangan parti komponen apabila Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MIC, T.Mohan bukan sahaja turut hadir malah menyampaikan ucapan mereka.

Walaupun kawasan Manik Urai terdiri daripada lebih 95 peratus pengundi Melayu namun kehadiran mereka sebagai simbolik perpaduan komponen dalam BN serta matlamat 1Malaysia.

Antara intipati ucapan mereka ialah kerjasama dalam BN lebih tulen berbanding pakatan pembangkang yang hanya bersatu untuk mengejar kuasa.

Ini boleh dilihat apabila tidak sampai 16 bulan bersama terdapat pelbagai masalah wujud di kalangan mereka. Keretakan serta masalah ini berterusan di negeri seperti Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

No comments: