Tuesday, May 5, 2009

Penanti: Biro Politik UMNO Serah Pada BN

Biro Politik UMNO memutuskan untuk menyerahkan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi menentukan sama ada komponen itu akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini.

Keputusan itu dicapai mesyuarat Biro Politik UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini.

Meja Berita Malaysia Instinct difahamkan langkah itu bertujuan mendapatkan kata sepakat daripada semua 13 komponen parti BN, sama ada meletakkan calon sebagaimana dicadangkan beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau sebaliknya.

"Kita mahu persetujuan bersama, kalau semua bersetuju BN tidak bertanding, kita tidak akan meletakkan calon yang mewakili BN," menurut sumber-sumber terdekat dan boleh dipercayai.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beberapa pemimpin tertinggi UMNO kelihatan memasuki Bangunan Perdana Putra sejak jam 12 tengah hari tadi.

Antara mereka ialah tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai hasil mesyuarat itu. 

Kesemua mereka termasuk Muhyiddin enggan memberikan sebarang komen mengenai mesyuarat itu. 

Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Najib dan dianggotai semua Presiden parti komponen, dijangka akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi mencapai kata sepakat mengenai perkara itu. 


Najib sebelum ini tidak menolak kemungkinan BN tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti yang kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan mahu melanjutkan pelajaran.

No comments: